Blogger Widgets Blogger Widgets

Friday, 3 February 2012

Laut Ciptaan Allah S.W.T

   Hampir ¾ bumi ini diliputi air di mana 97% daripadanya merupakan samudera yang luas dipenuhi air dengan rasanya yang masin. Pada waktu siang dan malam, berjuta-juta tan bahan buangan dan kotoran dibuang dan dilemparkan ke dalam laut. Jika sekiranya air laut itu tidak masin, sudah tentu kotoran itu akan mengeluarkan bau yang amat busuk sehingga dalam beberapa waktu sahaja air laut akan menjadi tersangat busuk. Bagaimanakah keadaan ketika itu? Kita tidak mampu menggambarkan apa yang bakal terjadi, hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui. Sekurang-kurangnya tertentu ia akan merosakkan kesihatan penghuni bumi ini.
            Terciptanya air yang masin ini akan menjadi bukti betapa Allah s.w.t. melindungi segala kehidupan di permukaan bumi ini. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
            “Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan), laut yang tawar lagi segar dan laut yang masin lagi pahit. Dan Dia jadikan diantara kedua-duanya dinding dan batas yang menghalangi.”
(Al-Furqan : 53)
            Laut (air) tawar yang dinyatakan di dalam ayat di atas adalah terdiri daripada sungai, danau, tasik dan sebagainya yang sekalipun berdekatan dengan laut namun ia tetap tidak bercampur dengan air masin. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
            “Maka terangkanlah kepada-Ku tentang air yang kamu minum. Kamukah yang menurunkannya dari awan ataukah Kami yang menurunkan? Kalau kami kehendaki nescaya Kami jadikannya masin, maka mengapakah kamu tidak bersyukur?”
(Al-Waqiah: 68-70)
            Andainya perlindungan Allah s.w.t. kepada makhluk-Nya kita selidiki, kaji, ulas dan bahas maka sudah pasti ianya tidak akan tamat malahan jika ditulis ia akan menjadi jilidan buku yang tebalnya melebihi tinggi langit dan bumi.
            Manusia yang celik mata hatinya dan peka pancainderanya akan mengakui bahawa walau secerdik mana manusia dan setinggi mana ilmu pengetahuannya, mereka tetap tidak mampu menlindungi diri mereka sendiri tanpa bantuan dan perlindungan Allah, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan bencana alam seperti letupan gunung berapi, taufan, ombak besar (tsunami), gempa bumi dan banyak lagi Maha Suci Allah betapa  kerdilnya manusia dan betapa perkasanya Engkau.

No comments:

Post a Comment